PRESIDEN PAS MENANG SAMAN FITNAH RM2 JUTA

0
147

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang bebas daripada saman fitnah RM2 juta yang difailkan bekas calon PKR bagi kawasan Dun Bukit Besi, Mohd Shamsul Mat Amin.

Ini berikutan keputusan panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan di sini, hari ini yang menolak permohonan Mohd Shamsul bagi kebenaran merayu di Mahkamah Persekutuan, dalam usaha membatalkan keputusan Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi.

Mahkamah Tinggi Kuala Terengganu pada 16 Disember tahun lepas menolak saman fitnah Shamsul terhadap Abdul Hadi dan Mahkamah Rayuan pada Mei lepas, mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi itu.

Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Md Raus Sharif yang mengetuai panel itu turut memerintahkan Mohd Shamsul membayar kos RM10,000 kepada Ahli Parlimen Marang berkenaan.

Dua lagi anggota panel ialah Hakim Mahkamah Persekutuan, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Abu Samah Nordin.

Mohd Shamsul menyaman Abdul Hadi selepas mendakwa Abdul Hadi mengeluarkan kenyataan fitnah semasa berceramah di Kampung Tebakang, Alor Limbat, Marang, pada 22 April 2013.

Dalam pernyataan tuntutannya, Mohd Shamsul mendakwa ucapan Abdul Hadi dalam ceramah menjelang pilihan raya umum ke-13 (PRU13) itu, telah menjatuhkan maruahnya dan keluarga serta menjejaskan reputasinya sebagai calon pilihan raya dan ahli perniagaan.

Mahkamah Tinggi ketika menolak saman Mohd Shamsul itu memutuskan plaintif (Mohd Shamsul) gagal membuktikan bahawa kata-kata yang didakwa diucapkan oleh Abdul Hadi sebenarnya merujuk kepada beliau.

Mohd Shamsul bertanding mewakili PKR bagi Dun Bukit Besi, Terengganu pada PRU13.

Mohd Shamsul diwakili peguam A. Vasudevan dan V. Saravanan manakala peguam Datuk Takiyuddin Hassan mewakili Abdul Hadi. – Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here