Rafizi dihukum penjara 30 bulan

0
103

SHAH ALAM 7 Feb. – Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohd. Rafizi Ramli dijatuhi hukuman penjara 30 bulan selepas didapati bersalah oleh Mahkamah Sesyen di sini kerana melanggar Akta Perbankan dan Institusi Kewangan (BAFIA).

Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan bertanggungjawab mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik Perbadanan Fidlot Kebangsaan (NFC), National Meat & Livestock Sdn. Bhd., Agroscience Industries Sdn. Bhd., enam tahun lalu.

Hakim Zamri A. Bakar turut menjatuhkan hukuman sama ke atas bekas kerani sebuah bank, Johari Mohamad, 47, selepas turut didapati bersalah atas pertuduhan tersebut.

“Mahkamah mendapati tertuduh gagal menimbulkan keraguan munasabah dan pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan penangguhan hukuman ke atas kedua-dua tertuduh sehingga keputusan rayuan dan mengekalkan kos ikat jamin RM15,000.

Rafizi, didakwa atas pertuduhan mendedahkan dokumen penyata baki akaun bank milik NFC, National Meat & Livestock Sdn Bhd, Agroscience Industries Sdn Bhd dan akaun bank Mohamad Salleh kepada perunding media Yusof Abdul Alim dan pemberita The Star, Erle Martin Carvalho.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Ibu Pejabat PKR di Merchant Square, Jalan Tropicana Selatan, Petaling Jaya, pada 7 Mac 2012.

Rafizi didakwa mengikut Seksyen 97(1) Bafia yang boleh dihukum mengikut Seksyen 103(1)(a) akta sama yang membawa hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda maksimum RM3 juta atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.- UTUSAN ONLINE

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here